بسم الله الرحمن الرحيم

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya) ?" (Surah Al-Qamar: Ayat 032)

Adab dan Etika Membaca Al-Quran

Imam an-Nawawi rahimahullahu’anhu menjelaskan tentang etika yang dituntut ketika membaca al-Quran dan hukum-hukumnya di dalam kitabnya yang berjudul at-Tibyan.

Namun, di sini kami akan hanya  mencantumkan beberapa perkara secara ringkas berkenaan adab-adab yang perlu di lakukan ketika membaca Al-Quran iaitu seperti berikut:
Adab dan Etika Membaca Al-Quran
  • Ikhlas : Bersikap ikhlas dalam membaca al-Quran dan mengadakan munajat kepada Allah.
  • Bersihkan mulut : Membersihkan mulutnya atau menggosok gigi dengan kayu siwak atau yang sejenis dengannya.
  • Suci : Ketika membaca, hendaklah berada dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar.
  • Larangan : Diharamkan mereka yang dalam keadaan berjunub/wanita yang haid untuk membaca al-Quran kecuali jika ayat tersebut merupakan zikir-zikir.
  • Tayamum : Jika seseorang yang sedang berjunub / wanita yang haid hendak bersuci tetapi tidak menjumpai air, maka hendaklah mereka bertayamum.
  • Tempat bersih : Pembaca al-Quran disarankan supaya membaca al-Quran di tempat yang bersih dan disarankan membacanya di masjid.
  • Menghadap kiblat : Pembaca al-Quran disarankan ketika membacanya hendaklah mengadap kiblat, tenang dan merendahkan kedudukan kepala.
  • Beristiadza : Jika hendak memuliakan lagi, maka ketika membaca al-Quran disarankan agar dimulakan dengan beristiadza terlebih dahulu.
  • Khusyuk : Apabila hendak mula membaca al-Quran maka hendaklah terlebih dahulu menumpukan keinginannya untuk khusyuk dalam membaca.
Antara Etika-Etika lain yang perlu diperhatikan di pelihara ketika membaca Al-Quran adalah: 
  • Sewajarnya seseorang yang hendak membaca al-Quran dapat merasakan perasaan takut kepada Allah sesuai dengan sabda Nabi SAW yang bererti:
“Sesungguhnya manusia yang paling baik suaranya ketika membaca al-Quran, adalah jika kamu mendengarnya membaca, kamu menyangka bahawa dia takut kepada Allah.” (Ibn Majah,hadith ke 1339,juz 1, hal 425; dinyatakan sahih oleh al-Albani dalam kitab Sahih Ibn Majah, hadith ke 1101, juz 1, hal 2254).
Caranya adalah dengan memperhatikan kandungan al-Quran, baik amarannya, perjanjian dan persetujuannya. Jika kesedihan dan tangisan belum dapat dirasakan, maka tangisilah ke atas kekerasan hatinya kerana perkara itu merupakan bencana yang paling besar.
  • Orang yang hendak membaca al-Quran itu hendaklah melafazkan bacaannya dengan tartil (perlahan-lahan).
Ini kerana para ulama telah bersepakat atas saranan untuk membaca dengan tartil berdasarkan firman Allah Subhanahuwataala yang berikut ini yang bermaksud:
“Dan bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan (tartil)”(Surah al-Muzammil:4)
Bacaan yang dilakukan dengan tartil itu sangat mengagumkan (sedap didengar) dan pengaruhnya pada hati lebih mendalam daripada membacanya secara cepat atau terburu-terburu.
  • Disarankan juga ketika membaca, apabila mendapati ayat yang mengandungi ungkapan rahmat maka hendaklah meminta kurnia.
Jika mendapati ayat yang mengandungi akan seksanya, maka dia hendaklah meminta perlindungan daripada keburukan di dunia dan seksa akhirat. Apabila mendapat bacaan ayat yang mensucikan Allah Subhanahuwataala maka hendaklah dia mensucikanNya dengan berkata Maha Suci Allah atau betapa besar keagungannya atau lafaz lain yang semakna dengannya.
  • Hendaklah dia memuliakan dan membesarkan (kedudukan) al-Quran dengan tidak bermain-main ketika membacanya baik dengan tertawa, membuat pergaduhan, bertengkar atau bersenda gurau.
Hal ini berdasarkan pada firman Allah s.w.t. berikut ini yang bermaksud: ”Dan apabila dibacakan (kepadamu) al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kami mendapat rahmat.’ (surah al-A’raf:204)
  • Tidak dibenarkan membaca al-Quran selain menggunakan bahasa al-Quran, baik bahasa yang digunakan itu baik atau tidak baik pada ketika menunaikan solat atau di luar solat.
  • Tidak dibenarkan membaca al-Quran selain dengan cara bacaan yang tujuh yang sangat mutawatir dan dilarang membacanya dengan bacaan yang diluar ketentuan.
Apabila seseorang membaca al-Quran dengan salah satu cara bacaan yang mutawatir, maka hendaknya dia menyempurnakan bacaannya dengan cara itu selagi dia tidak berpindah kepada ayat yang lain.
Pembelajaran Al-Quran menggunakan Teknik Al-Baghdadi sangat menekankan pembacaan yang sempurna sejak dari awal pembelajaran lagi. Penggunaan alat bantuan pembelajaran iaitu alat ketuk Al-Baghdadi akan melatih para pelajar tentang cara pembacaan asas tajwid yang betul sejak dari peringkat awal pembelajaran.

Rujukan : Jabatan kemajuan Islam Malaysia
Bacaan lain : Kaedah pembelajaran Al-Quran Teknik Al-Baghdadi telah diiktiraf oleh The Malaysia Book Of  Records