بسم الله الرحمن الرحيم

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya) ?" (Surah Al-Qamar: Ayat 032)

Al-Quran Memberi Syafaat Kepada Pembacanya

Terdapat banyak hadis-hadis yang menjelaskan tentang manfaat serta kelebihan yang  boleh diraih oleh sesiapa yang melazimkan pembacaan Al-Quran.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa di hari akhirat kelak, seluruh umat manusia akan dikumpulkan untuk dihadapkan di mahkamah Allah Rabbul Jalil, semuanya akan menghadapi situasi yang sangat mencemaskan dan memerlukan pertolongan. Maka dengan izin Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w. akan tampil memberi syafaat atau pertolongan kepada umat-umatnya yang terpilih.
Dari Auf bin Malik Al-Asyja'i berkata :"Rasulullah SAW bersabda :"Utusan datang kepada ku dari sisi Tuhan ku dan ia menyuruh aku memilih antara separuh umat ku masuk syurga dan antara syafaat, maka aku memilih syafaat dan syafaat itu bagi orang mati yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu". (Hadis Sunan At-Termizi Jilid 4. Hadis Nombor 2558)
Rasulullah s.a.w. juga ada menjelaskan bahawa pembaca Al-Quran juga akan mendapat syafaat daripada Al-Quran yang di bacanya. Surah Al-Baqarah dan Surah Ali 'Imram akan datang di hari kiamat seperti tompok-tompok awan yang akan melindungi para pembacanya.
Al-Quran Memberi Syafaat Kepada Pembacanya
Dari Abu Umamah Al Bahili r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Bacalah Al Quran, kerana dia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, yakni surat Al Baqarah dan Ali 'Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tumpuk awan menaungi pembacanya, atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah Al Baqarah, kerana dengan membacanya beroleh berkat, dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikuasai (di kalahkan) oleh tukang-tukang sihir." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0771)
Sementara dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w ada menjelaskan bahawa Surah Al-Mulk juga akan memberi syafaat kepada pembacanya sehingga Allah s.w.t mengampunkan dosanya.
Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda :"Sesungguhnya ada surah di dalam Al Quran (berisi) tiga puluh ayat, yang memberi syafaat kepada seseorang sampai ia diampuni dosanya iaitu surah "Tabaarakal Ladzi Biyadihil Mulku" Hadis ini Hasan. (Hadis Sunan At-Termizi Jilid 4. Hadis Nombor 3053)
Dalam hadis lain juga ada menjelaskan berkenaan pembaca Al-Quran yang mempraktikkan kandungannya akan dapat memberi pertolongan kepada ahli keluarganya.
Dari Ali bin Abi Thalib, ia berkata :"Rasulullah SAW bersabda :"Barangsiapa membaca Al Quran dan mempraktikkannya, menghalalkan barang yang halal dan mengharamkan barang yang haram, maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan ia bisa memberi syafaat sepuluh orang dari keluarganya, yang kesemuanya tadi harus masuk neraka". Hadis ini gharib, saya tidak mengetahui hadis ini kecuali dari sanad ini dan isnadnya tidak sahih. Hafash bin Sulaiman iaitu Abu Umar Bazaz orang Kufah, ia dianggap lemah hadisnya. (Hadis Sunan At-Termizi Jilid 4. Hadis Nombor 3069)
Semoga kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang terpilih sebagai ahli-ahli Al-Quran dan mendapat manfaat serta syafaat daripadanya. In Shaa Allah. Aamiin.

Al-Baghdadi Learning Centre ada menyediakan perkhidmatan pendidikkan Al-Quran bermula dari asas mengenali huruf dan sebutan sehingga ke Hafazan dan Talaqqi bersanad. Teknik Al-Baghdadi adalah kaedah awal dalam pembelajaran Al-Quran untuk semua peringkat umur dari kanak-kanak sehingga dewasa.

Maklumat lanjut berkenaan Teknik Al-Baghdadi ada dikongsikan dalam tajuk pos 'Apa itu Teknik Al-Baghdadi'.